Tuesday, April 21, 2015

55 or 60?

brahim seorang pesara kerajaan, namun dia turut menentang cadangan mengubah had umur pekerja sektor swasta mengeluarkan simpanan mereka daripada 55 kepada 60.
Kritikan terhadap cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menonjolkan sekali lagi masalah gaji rendah di kalangan majoriti rakyat Malaysia yang membawa kepada simpanan persaraan yang sedikit.
Hujah yang mengatakan ia meningkatkan simpanan mereka juga tidak dipedulikan kerana pekerja tidak mempercayai Putrajaya menguruskan wang mereka dengan baik.
Juga, cadangan itu terlepas pandang hakikat kebanyakan rakyat Malaysia tidak menghabiskan simpanan persaraan mereka dengan bijak, kata seorang perancang kewangan.
"Tidak kira jika anda mengeluarkan simpanan pada umur 55 atau 60, atau berapa banyak wang yang anda ada. Jika anda tidak menguruskannya dengan baik, tidak kira berapa banyak wang anda ada, ia masih akan habis dalam beberapa tahun sahaja," katanya yang tidak mahu dikenali.
Nilai faedah kompaun
Bagi KWSP, dengan menunggu lima tahun lagi, pencarum boleh mendapat sehingga lebih 33% dalam simpanan mereka, hasil faedah kompaun daripada dividen tahunan dana itu.
Sebagai contoh, seorang pencarum yang menyimpan sehingga RM100,000 pada usia 55 tahun boleh mendapat tambahan RM33,000 jika dia mengeluarkannya pada usia 60, jika KWSP membayar dividen sekurang-kurangnya 6% setiap tahun dalam tempoh lima tahun itu.
Dalam taklimat KWSP semalam, dua kes pencarum memperoleh RM3,000 sebulan dan mengumpul RM100,000 pada usia 55 dibandingkan.
Tetapi Ibrahim, bekas kakitangan awam dari Klang, masih sangsi dengan hujah KWSP bahawa pulangan lebih tinggi pada umur 60.
"Simpanan itu merupakan ganjaran bagi titik peluh mereka yang mereka usahakan hingga berumur 55 tahun. Itu yang mereka tunggu-tunggu dan digunakan untuk membayar segala pinjaman yang masih berbaki supaya boleh bersara dengan selesa.
"Terdapat kebimbangan yang walaupun mereka mendapat lebih banyak apabila mereka mengeluarkan caruman pada usia 60, mereka tidak akan dapat menikmatinya jika mati beberapa tahun selepas itu," kata Ibrahim, yang tidak mahu memberikan nama penuhnya.
Pekerja sektor swasta, Abdul Rahman Mohd Said, setuju dengan sentimen itu, mengatakan golongan umur 50an mempunyai jangkaan berbeza berapa lama lagi mereka akan hidup.
Seseorang yang menginjak usia 55 tahun menjangkakan akan hidup sihat sehingga usia 60, itulah sebabnya mereka mahu mengambil simpanan mereka dan menikmatinya untuk tempoh lima tahun selepas itu, kata Rahman.
"Bagi umat Islam, terutama dalam kumpulan umur 55 hingga 60 tahun, ini waktu mereka ingin menunaikan ibadah haji. Jadi mereka mahu mengeluarkan simpanan dalam usia 55. Mereka tidak mengharapkan hidup lama selepas 60."
George, seorang perancang kewangan, berkata sikap mengenai simpanan KWSP adalah kesilapan biasa ramai orang.
Perancang kewangan sepertinya menasihati pelanggan agar menganggap simpanan mereka sebagai dana pencen kerajaan, di mana pencarum mengeluarkan jumlah tertentu setiap bulan untuk dibelanjakan atas makanan dan utiliti.
"Ia tidak sepatutnya digunakan untuk membayar pinjaman kereta atau pendidikan anak-anak anda atau pergi bercuti. Ia hanya untuk perbelanjaan bulanan anda."
Malah, KWSP sendiri melihat simpanan itu dalam bentuk yang sama.
Dalam perkirannya, pekerja yang bersara tahun ini harus ada sekurang-kurangnya RM196,800 simpanan bagi menampung kos kehidupan sekurang-kurangnya RM800 sebulan.

Rahman, yang akan mencapai 55 dalam tempoh enam tahun, berkata aspek ini – kesedaran dan nasihat kewangan – tidak diberikan semasa KWSP membuat cadangannya, menyebabkan ramai yang menentang cadangan itu.
"Jika anda menekankan idea menggunakan simpanan anda sebagai sistem pencen, mungkin orang akan terbuka kepada cadangan itu."
Defisit amanah
Para pencarum juga sangsi dengan cadangan itu kerana ia dibuat ketika hampir semua orang tahu mengenai skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan akibatnya kepada negara.
"Ramai pekerja hilang keyakinan KWSP menguruskan wang mereka dengan baik," kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MUTC), N. Gopal Kishnam (gambar, kiri).
"Terdapat kebimbangan wang itu akan digunakan untuk urus niaga perniagaan yang boleh dipersoalkan dan itulah kebimbangan besar di kalangan pekerja."
Disember lalu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) membangkitkan kemungkinan dana KWSP digunakan untuk melabur dalam 1MDB.
Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata tidak pernah ditawarkan membeli saham dalam syarikat-syarikat 1MDB, ini masih tidak menenangkan kebimbangan.
"Persoalannya ialah, mengapa mereka mengubah peraturan ini sekarang?" kata Rahman, menjelaskan kesangsian orang ramai ke atas motif KWSP berdasarkan kes 1MDB itu.
Kebimbangan simpanan KWSP akan disalah urus dan menghasilkan dividen lebih rendah dirasakan mereka yang berpendapatan rendah, kerana golongan ini bergantung sepenuhnya kepada simpanan persaraan mereka bagi segala-galanya.
"Bagi pekerja kelas pertengahan, mereka mempunyai wang mencukupi untuk membeli insurans, mengadakan tabung pendidikan untuk anak dan membayar pinjaman mereka," kata George.
"Tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah, mereka tidak mempunyai apa-apa simpanan lain di hujung bulan."
Inilah sebab mengapa menurut Ibrahim, bagi sesetengah orang, mereka tidak banyak pilihan selain menggunakan simpanan KWSP bagi membayar pinjaman atau membiayai pendidikan universiti anak-anak.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah pada 2014, 62% daripada pencarum aktif KWSP memperoleh pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
Oleh kerana gaji memang sentiasa rendah, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkemahiran rendah, jumlah caruman kepada KWSP juga rendah, kata Gopal.
Ini seterusnya memberi kesan kepada jumlah simpanan persaraan mereka memandangkan dividen KWSP kini masih dalam angka tunggal.
Jadi, penyelesaian sebenar untuk meningkatkan simpanan persaraan tidak terletak sepenuhnya kepada KWSP, kata ahli ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.
Putrajaya perlu juga memastikan gaji pekerja dinaikkan dengan adil dan kerap, sepadan dengan produktiviti serta inflasi supaya pekerja mempunyai wang mencukupi untuk hidup sehingga selepas mereka bersara. – 21 April, 2015.
Comments :
Dah cukup la dengan drama dan cerita dongeng semata mata nak gelap kan duit rakyat. Jangan lah cuba nak guling duit rakyat, cukup lah dengan tanya soal yg timbul mengenai wang 1MDB. Tak perlu lah nak uar ura, nak cuba cuba nak tolong tolong rakyat.... 

Orang tua kata, kalau makan duit titik peluh orang, nanti tak senang hidup kita anak beranak nanti, jadi tak payah lah nak berangan angan mat jenin.... 
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mengapa-ramai-tidak-percaya-cadangan-kwsp-walaupun-ia-bernas#sthash.3HtnJSfG.dpuf

All comments are good comments. There are no bad comments or good comments. So everyone have the right to comment. How about you?

No comments:

Now Everyone Can't Fly - JOE SAMAD

When I read this column, it does hit my head and the story can be related to my experience traveling to East Malaysia for work purpose back ...