Thursday, December 26, 2019

Kelakuan buruk gerakan politik Islam cetus gelombang sekularisme

PETALING JAYA: Terdapat tanda-tanda gelombang sekularisme baru di dunia Islam, daripada orang ramai yang hampa dengan kelakuan gerakan politik agama, kata sarjana Turki terkenal, Mustafa Akyol.

Akyol, dalam artikelnya di akhbar New York Times berkata, penolakan terhadap penggunaan Islam sebagai alat politik boleh dikesan di serata dunia Islam, walaupun peratusan kecil tetapi meningkat, memetik dapatan jaringan penyelidik, Arab Barometer dan amatan pemikir lain.

“Peninjau pendapat awam jaringan itu mendapati dalam 5 tahun kebelakangan ini, di 6 negara Arab utama, ‘kepercayaan pada parti-parti Islam’ dan ‘kepercayaan pada pemimpin-pemimpin agama’ merosot,” tulis Akyol dalam artikel “A New Secularism Is Appearing in Islam” pada 23 Dis.
Tinjauan Arab Barometer, yang berpangkalan di Universiti Princeton dan Universiti Michigan, memetakan peredaran daripada Islamisme.

 kyol berkata trend sama berlaku pada skala lebih besar di luar dunia Arab, seperti Iran dan negaranya, Turki yang diperintah gerakan politik Islam, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
“Ramai orang Turki membenci Islamisme lebih dari sebelum ini,” katanya, dan menambah orang ramai perasan kegilaan kuasa Islamis yang menjadi elit pemerintah di sana sejak 2 dekad lalu.
Di Iran, selepas 40 tahun pemerintahan Islamis menyaksikan orang ramai berani menunjuk perasaan terhadap mereka di jalan raya.

“Sesungguhnya ramai yang sudah tidak tahan lagi dengan golongan ulama,” katanya.
Akyol, memetik pandangan sarjana, pakar bidang dan pemerhati lain, menulis banyak perkara yang menyebabkan orang ramai hampa dengan Islamis: sikap keterlaluan dalam beragama, rasuah dan ketidakadilan, kekecewaan terhadap Ikhwanul Muslimin di Mesir, kejutan IS, letih dengan parti-parti sektarian di Iraq dan Lubnan, dan kemarahan terhadap rejim Sudan.

Akyol memberi amaran, sekiranya gerakan politik agama enggan berubah, dikhuatiri kehampaan orang ramai akan terkena pada Islam.

Memetik dapatan Arab Barometer, Akyol berkata “kehadiran di masjid-masjid” di 6 negara Arab utama itu menunjukkan penurunan, sementara responden yang mengaku “tidak peduli agama” naik daripada 8% pada 2013 kepada 13% pada 2018.

“Di Turki, ia ditunjukkan dalam trend sosial dalam kalangan anak muda yang menjadi perbualan hari ini: kebangkitan ‘deisme’, atau percaya pada Tuhan, bukan pada agama,” katanya.
Akyol berkata gelombang sekularisme kali ini berbeza dengan sekularisme yang dipaksakan pemerintah pro-Barat dulu seperti Mustafa Kemal Ataturk dan Mohammad Reza Pahlavi ke atas rakyat masing-masing.

“Kali ini, bagaimanapun, kita bercakap tentang trend dari bawah ke atas, dari masyarakat, dari rakyat yang bosan dengan semua perkara buruk yang dilakukan atas nama agama,” katanya.



All comments are good comments. There are no bad comments or good comments. So everyone have the right to comment. How about you?

Now Everyone Can't Fly - JOE SAMAD

When I read this column, it does hit my head and the story can be related to my experience traveling to East Malaysia for work purpose back ...