Friday, May 21, 2021

‘Gita’ Untuk Malaysia

Sebuah buku yang baik mampu membawa fikiran dan hati pembaca berlayar lebih jauh daripada sekadar apa-apa yang terkandung pada helaian kertas bercetak.

Pengalaman membaca buku penceritaan semula Bhagavad Gita (2021) dalam bahasa Malaysia mengingatkan tentang pelbagai epik dan hikayat lama dari tamadun India yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Misalnya, epik saduran Hindu seperti Ramayana dan Mahabharata sudah menjadi sebahagian roh Melayu, walaupun kini kita semakin jarang bercakap tentang Hikayat Seri Rama dan Pandawa Lima.

Mungkin juga pada zaman sebelum kedatangan Islam, kitab Bhagavad Gita turut menjadi antara teks penting dalam kalangan penduduk di Kedah, Melaka dan pusat tumpuan ramai.

Dalam versi Bahasa Malaysia, penulis Uthaya Sankar SB menceritakan semula keseluruhan 700 sloka (seloka) dalam bentuk prosa cereka.

Pembaca boleh membayangkan situasi masa silam ketika kisah-kisah Bhagavad Gita disampaikan kepada orang ramai dalam bahasa setempat iaitu bahasa Melayu.

Teks asal Bhagavad Gita ditulis menggunakan bahasa Sanskrit yang sukar difahami. Gaya penulisan puisi iaitu bentuk seloka menjadikan cerita lebih padat dan pembaca perlu tahu latar belakang kisah dan watak-watak dalam Mahabharata untuk memahami apa yang diceritakan dalam Bhagavad Gita.

Namun begitu, pembacaan versi Bhagavad Gita ini menjadi selesa untuk dibaca kerana pelbagai maklumat tambahan tentang watak-watak dan peristiwa dalam epik Mahabharata diselitkan seadanya. Penggunaan bahasa yang mudah juga membantu pembaca mengikuti cerita tanpa apa-apa halangan.

Apa yang boleh diharapkan dalam sebuah karya yang sekadar merupakan dialog dan monolog melibatkan dua watak, iaitu putera bernama Arjuna dan Krishna yang dikatakan inkarmasi Dewa Vishnu?

Kitab ini sarat dengan hal-hal berkaitan ajaran agama Hindu dan perkara ini memang wajar kerana ia memang sebuah teks yang cuba menyampaikan kandungan Veda (kitab-kitab Hindu) secara mudah.

Bhagavad Gita adalah sebahagian kecil daripada epik Mahabharata. Epik itu yang dipercayai dikarang oleh Vyasa adalah puisi terpanjang di dunia iaitu hampir sepuluh kali lebih panjang apabila Illiad dan Odyssey dicantum.

Mahabharata terdiri daripada 18 bab. Dalam Bab 6 epik itu terkandung babak Krishna dan Arjuna berada di medan perang sebelum perang bermula antara pihak Kaurava dan Pandava.

Dialog kudus Krishna-Arjuna

Pada saat itulah berlangsung dialog bersifat amat spiritual antara kedua-dua watak berkenaan. Dialog itu dianggap kudus lalu diangkat menjadi teks berasingan yang dinamakan Bhagavad Gita atau Nyanyian Tuhan.

Buku terbaharu yang terbit pada awal Mei 2021 disusun kemas dengan mengekalkan pembahagian bab seperti teks asal dalam Sanskrit. Malah, nombor rujukan bagi setiap sloka dinyatakan supaya pembaca boleh membuat rujukan jika mahu.

Tidak mustahil sloka dalam Bhagavad Gita pernah diterjemah ke bahasa Melayu pada zaman sebelum kedatangan Islam ke Nusantara. Malangnya, khazanah itu sudah hilang dan tidak akan dapat diketemukan lagi. Sama ada kerana hanya disampaikan secara lisan atau segala rekod sudah tiada.

Karya agung berkenaan sudah sekian lama terdapat dalam bahasa-bahasa utama dunia. Kini, buku Bhagavad Gita ini memberi peluang kepada masyarakat Malaysia untuk meneroka kandungan kitab berkenaan dalam bahasa kebangsaan yang sama-sama kita perjuangkan dan daulatkan.

Kelahiran buku ini amat sesuai dengan kempen Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030) di mana kita mahu membuktikan Bahasa Malaysia bersifat inklusif dan boleh digunakan untuk menyampaikan ilmu pelbagai bidang.

lvbala said:

I copied paste this article in Malaysikini and found it very profound and practical. The Indonesian government have implemented. They are bringing back the historical event that once rule the the world. The political system, civilized navigation, engineering and spiritual journey and path were brought in. By revisiting the historical fact, would strengthen the knowledge and create civilized mind in in future generation.

My own opinion, this would never happen as long ans certain religion trying to dominate the world. But sadly they would wiped out sooner.


All comments are good comments. There are no bad comments or good comments. So everyone have the right to comment. How about you?

No comments:

Now Everyone Can't Fly - JOE SAMAD

When I read this column, it does hit my head and the story can be related to my experience traveling to East Malaysia for work purpose back ...