Wednesday, May 13, 2015

1MDB

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyaman Tony Pua, menuduh ahli Parlimen DAP itu cuba mendapatkan kelebihan politik  buat Pakatan Rakyat (PR) apabila berterusan menyerang dirinya berkenaan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut dokumen mahkamah.
"Ia adalah satu serangan ke atas kredibiliti plaintif, maruahnya dan kebolehpercayaannya sebagai seorang individu," kata Najib dalam dokumen berbahasa Inggeris yang diteliti The Malaysian Insider dan difailkan dalam saman fitnahnya terhadap Pua.
"Ia bertujuan mendapatkan sokongan terhadap usahanya memburukkan plaintif," kata perdana menteri menerusi peguam caranya yang memfailkan kenyataan balas terhadap kenyataan bela diri Pua.
Najib memfailkan saman terhadap ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu pada 7 Mac lalu dan ia merupakan kes pertama melibatkan saman seorang perdana menteri Malaysia terhadap seorang ahli Parlimen atas tuduhan fitnah.
Menurut Najib, Pua berniat jahat dan tambahnya motif dominan ahli Parlimen PR itu adalah untuk memperoleh kelebihan politik buat pembangkang.
Jika Najib berjaya membuktikan kenyataan Pua yang didakwa bersifat memfitnah itu dilakukan dengan niat jahat, maka segala hujah pembelaan – justifikasi, ulasan wajar dan perlindungan bersyarat diajukan setiausaha publisiti DAP itu tidak boleh diguna pakai.
Najib turut menamakan pemilik portal Mediarakyat, Chan Chee Keong, sebagai defendan kedua.
Chan dan Pua disaman ekoran ulasan terhadap 1MDB dalam satu ucapan dalam rakaman video oleh ahli Parlimen PR.
Dalam samannya, Najib berkata rakaman ucapan itu, yang dimuat naik Chan atau agennya ke saluran Youtube dan laman Facebook Mediarakyat, kemudiannya diterbitkan semula oleh Pua menerusi akaun Facebook miliknya.
Najib menuntut satu permohonan maaf, penarikan semula kenyataan itu dan ganti rugi.
Pada bulan November Najib menghantar sepucuk surat tuntutan terhadap dan menuntutnya meminta maaf dalam masa 14 hari menerusi dua akhbar nasional, atau menghadapi tindakan undang-undang berhubung video ucapan bertajuk “Tony Pua: Najib is creating the biggest scandal ever in the history of Malaysia”.
Berdasarkan transkrip, di antara perkara yang disebut Pua adalah: “Let me tell you, this is the problem with Barisan Nasional. No one dares to stand up to the prime minister, and Najib now is like a king. A king that is creating the biggest scandal ever in the history of Malaysia. Huge! No one dares to say a thing, nothing, not even a pin drop from any MCA or Gerakan leader or even Umno leaders". (Biar saya beritahu, inilah masalahnya dengan Barisan Nasional. Tiada sesiapa berani menentang perdana menteri, dan Najib sekarang seperti seorang raja. Seorang raja yang mencipta skandal paling besar dalam sejarah Malaysia. Besar! Tiada seorang pun yang berani bersuara sama ada dari MCA atau Gerakan atau Umno sekali pun).
Najib dalam dokumen mahkamahnya itu berkata beliau begitu terganggu dengan ungkapan dirinya merompak duit rakyat – satu tuduhan berunsur skandal tertinggi, kasar dan tidak masuk akal.
"Defendan pertama (Pua) menerbitkan dan menerbitkan semula perkataan-perkataan itu, walaupun mengetahui ia tidak benar, (dan) semberono atau tidak ambil kisah dengan kebenaran," katanya.
Menurut Najib tuduhan itu dibuat dan ditujukan kepada dirinya dalam kapasiti peribadi dan dakwaan beliau mencuri wang rakyat adalah satu pencemaran ke atas reputasi peribadinya.
Menurutnya, Pua tidak mendapatkan sebarang maklum balas darinya dan video itu berat sebelah.
Menurutnya lagi, lembaga penasihat 1MDB yang dipengerusikannya tidak mempunyai peranan dalam operasi harian kerana ia dilaksanakan oleh ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan.
Perdana menteri juga menegaskan beliau akan membuktikan ucapan dan ungkapan yang dibuat Pua dilontarkan semata-mata untuk memajukan kepentingan politik peribadinya dan DAP.
Dalam kenyataan membela dirinya, Pua berkata beliau mempunyai tanggungjawab selaku wakil rakyat untuk menyerlahkan isu yang berkaitan kepentingan umum.
Setiausaha publisiti DAP itu juga berkata orang ramai berhak untuk menerima maklumat berkaitan isu yang memberi kesan kepada mereka.
Beliau turut bergantung kepada pembelaan berkaitan justifikasi dan menegaskan maklumat yang didedahkan kepada orang ramai tentang 1MDB itu adalah benar.
Dalam kenyataan membela dirinya setebal 23 halaman, Pua turut mempersoalkan pendirian Najib untuk memfailkan saman itu kerana beliau juga adalah ahli Parlimen Pekan, perdana menteri dan menteri kewangan.
Pemilik portal Mediarakyat turut memfailkan pembelaannya pada 31 Mac.
Namun, pada hari Jumaat lalu Pua memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman Najib atas alasan perdana menteri kekurangan kapasiti untuk menyaman kerana beliau adalah personaliti umum yang perlu menerima kritikan.
Pengurusan kes dalam permohonan Pua ditangguhkan kepada 17 Jun. – 13 Mei, 2015.

lvbala said:

Jadi duit 40 lebih billion tu pergi mana Jib? Nak bayar bunga pun tak mampu, dan 2 billion di pinjam dari AK. Jadi apa cerita hang nak bebel bang Jib?
Duit tu gi mana? Mana pergi duit sebanyak tu, hingga bunga pun tak mampu nak bayar. 
Jadi, Tun pun tanya juga, mana pergi duit tu. Kenapa nak saman wakil DAP je? napa tak saman yang lain?
Abang Jib, Kami semua respect Jib sebab bapa hang dulu pernak jadi PM. Tapi tidak bermakna rakyat akan terus berdiam. Jelaskan lah sebelum BN kalah teruk dan hilang kuasa. Nanti ramai lah yang akan kira besi pintu penjara nanti.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/serangan-niat-jahat-pua-demi-publisiti-pakatan-kata-najib-dalam-samannya#sthash.BR32ewUy.dpuf

All comments are good comments. There are no bad comments or good comments. So everyone have the right to comment. How about you?

No comments:

Now Everyone Can't Fly - JOE SAMAD

When I read this column, it does hit my head and the story can be related to my experience traveling to East Malaysia for work purpose back ...